Akta Perhubungan Perusahaan 1967
Akta Kesatuan Sekerja 1959
Hak Menubuhi atau Menyertai Kesatuan Sekerja
Pekerja berhak menubuhi atau menyertai kesatuan sekerja. Jika pihak majikan mengganggu hak ini, beliau boleh dituduh melakukan satu kesalahan. Kemudian dalam Ruang ini, kita akan bincangkan beberapa tindakan pihak majikan boleh ambil apabila pekerja beliau menunjukkan minat menjadi anggota kesatuan.
Sekiranya pihak pekerja membuat keputusan untuk menubuhkan satu kesatuan baru untuk mewakili kepentingan mereka, mereka perlu memohon kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja untuk mendaftar kesatuan mereka. Sekurang-kurangnya 7 orang anggota diperlukan untuk tujuan tersebut. Sekiranya rancangan mereka ialah untuk mendapatkan keanggotaan pekerja dari berbagai-bagai syarikat dalam negara, mereka sedang cuba menubuhkan satu kesatuan sekerja kebangsaan. Sekiranya mereka memilih untuk memulakan satu kesatuan di mana keanggotaannya terbuka kepada pekerja dalam syarikat anda sahaja, kesatuan tersebut dikenali sebagai kesatuan dalaman. Prosedur untuk memohon pendaftaran bagi kedua-dua rancangan adalah sama. Sebagai alternatif, pekerja boleh sertai kesatuan sekerja yang sedia ada.
Seorang majikan mungkin akan menghadapi satu daripada tiga keadaan berikut:
1. Pekerja beliau sertai salah satu kesatuan kebangsaan yang sedia ada
2. Pekerja beliau, mungkin bersama pekerja daripada syarikat lain, cuba tubuhkan satu kesatuan kebangsaan yang baru
3. Pekerja beliau putuskan untuk tubuh satu kesatuan dalaman.
Terpulang kepada pekerja sama sekali untuk memilih yang mana daripada tiga pilihan di atas. Pihak majikan mesti tidak dilihat sebagai mengganggu keputusan pekerja. Kebanyakan majikan percaya bahawa ia adalah senang untuk bekerjasama dengan kesatuan dalaman yang berkemungkinan faham dengan keperluan pihak majikan dan masalah yang dia mungkin hadapi.
Sekatan ke atas Keanggotaan Kesatuan Sekerja
Kesatuan sekerja hanya boleh didaftar dan menjadi organisasi yang sah jika beberapa syarat tertentu dipenuhi. Ia termasuk:
1. Semua anggota kesatuan mesti bekerja dalam pekerjaan, tred atau industri yang sama
2. Semua anggota kesatuan mesti bekerja di Semenanjung atau Sabah atau Sarawak. Sesiapa yang bekerja di Semenanjung tidak boleh menjadi anggota kesatuan yang sama seperti mereka yang bekerja di Sabah atau Sarawak. Sama juga mereka yang bekerja di Sarawak tidak boleh menyertai kesatuan yang sama seperti mereka yang bekerja di Sabah atau di Semenanjung. Ia itu, kesatuan di Semenanjung mempunyai anggota yang bekerja di Semenanjung sahaja, kesatuan di Sabah mempunyai anggota yang bekerja di Sabah sahaja dan kesatuan di Sarawak mempunyai anggota yang bekerja di Sarawak sahaja.
3. Semua anggota kesatuan mesti berada dalam salah satu sektor sahaja, iaitu swasta atau awam. Sekiranya organisasi anda ialah sebuah hospital swasta, misalnya, pekerja anda tidak boleh menyertai kesatuan yang mewakili pekerja hospital di sektor awam.
4. Untuk tujuan perundingan bersama, (yang akan dibincang kemudian dalam Ruang ini) anggota kesatuan mesti daripada peringkat yang sama dalam organisasi, iaitu pekerja bukan eksekutif, atau semuanya eksekutif atau semuanya pengurus.
5. Mereka yang bekerja dalam jawatan berkaitan dengan perkara sulit atau kerja sekuriti boleh juga sertai kesatuan yang anggotanya berada dalam jawatan yang sama. Jawatan yang berkait dengan perkara sulit termasuk kewangan, IT, setiausaha peribadi atau penolong kepada pengurusan atasan, iaitu mereka yang boleh akses maklumat sulit.
Hak Tidak Menyertai Kesatuan Sekerja
Pekerja mempunyai hak menyertai kesatuan sekerja tetapi mereka juga mempunyai hak untuk tidak menganggotai mana-mana kesatuan. Ini boleh menyebabkan perbalahan dan pertengkaran di kalangan pekerja apabila mereka sedang cuba menubuhkan kesatuan dan mahukan seberapa ramai pekerja yang boleh untuk menjadi anggota atau apabila satu kesatuan kebangsaan sedang mengadakan kempen menambahkan keanggotaan.
Jikalau pekerja meminta nasihat daripada pegawai sumber manusia mengenai hak mereka, memberi keterangan adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, jangan cuba mempengaruhi mereka untuk menyertai atau tarik diri daripada kesatuan. Jangan beri apa-apa komen mengenai kebaikan atau keburukan apabila pekerja diwakili oleh kesatuan. Hati-hati dengan apa yang anda katakan.
No comments:
Post a Comment