Thursday, December 25, 2014

TUNTUTAN PENGIKTIRAFAN KESATUAN

Tuntutan Pengiktirafan (Recognition Claim)


Pekerja dan majikan di Malaysia adalah bebas menubuhkan pertubuhan mengikut:
i. Artikel 10(1) (c) Perlembagaan Malaysia
ii. Konvensyen ILO No.98
iii. Seksyen 8 dan 9 Akta Kesatuan Sekerja 1959 Sesebuah kesatuan sekerja perlu didaftarkan bagi membolehkannya menikmati keistimewaan sebagai sebuah kesatuan sekerja yang sah.


Prosiding Tuntutan Pengiktirafan


Tindakan-Tindakan Yang Dilarang Semasa Diadakan Prosiding Tuntutan Pengiktirafan
1.             Majikan adalah dilarang mengisytiharkan sekat-masuk (lock-out) atau menamatkan pekerjaan mana-mana pekerjanya kecuali atas alasan-alasan tatatertib (misconduct).
2.            Pihak Kesatuan pula dilarang daripada melancarkan apa-apa tindakan perusahaan seperti mogok atau piket.

Penalti Bagi Kesalahan Bersabit Tuntutan Pengiktirafan
 Seksyen 60, APP 1967 menetapkan penalti yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya atas pelanggaran mana-mana peruntukan dibawah Akta tersebut; atau atas ketidakpatuhan terhadap apa apa saman, perintah atau arahan yang diberi atau dibuat dibawah Akta berkenaan.

Berikut adalah langkah-langkah (proses) bagi Tuntutan Pengiktirafan
1.            Kesatuan mengemukakan tuntutan pengiktirafan kepada majikan dalam Borang A (Notis Tuntutan Untuk Mendapatkan Pengiktirafan).
2.            Kesatuan mengemukakan Borang A berserta satu salinan Perlembagaan Kesatuan/Peraturan-peraturan  Kesatuan Sekerja kepada majikan secara pos berdaftar dengan satu salinan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia (KPPPM)
3.            Majikan dikehendaki memberi maklumbalas dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan Notis Tuntutan.
4.            Jika majikan memberi pengiktirafan secara sukarela, kes tuntutan pengiktirafan dianggap selesai.
5.            Jika pengiktirafan tidak diberi, Kesatuan hendaklah mengemukakan aduan secara bertulis kepada KPPPM dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan maklumbalas majikan atau selepas tamat tempoh 21 hari. Jika Kesatuan gagal mengemukakan aduan tersebut, kes tuntutan pengiktirafan dianggap telah ditarik balik.
6.            KPPPM akan memohon Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) bagi menentukan kelayakan Kesatuan.
7.            KPPPM kemudiannya memohon majikan kemukakan senarai nama pekerja syarikat (Borang B)
8.            Proses undi sulit dijalankan bagi menentukan peratusan keahlian kesatuan sama ada mempunyai majoriti atau sebaliknya. (Majoriti = 50%+1)
9.            Laporan kepada Y.B Menteri Sumber Manusia untuk mendapat keputusannya dibawah seksyen 9 (5), APP 1967.
10.          Keputusan Y.B Menteri dimaklumkan kepada majikan dan Kesatuan.

·                     Apabila sesebuah Kesatuan Sekerja telah mendapat pengiktirafan daripada majikan, tidak ada tuntutan pengiktirafan keatas majikan yang sama boleh dikemukakan oleh pihak Kesatuan Sekerja yang lain kecuali selepas tempoh tiga (3) tahun telah genap.
·                     Apabila sesuatu tuntutan pengiktirafan telah diselesaikan oleh KPPPM atau telah diputuskan oleh Y.B Menteri Sumber Manusia yang menyebabkan Kesatuan Sekerja itu tidak mendapat pengiktirafan, Kesatuan Sekerja tersebut tidak boleh membuat apa-apa tuntutan lanjut untuk mendapatkan pengiktirafan sehingga selepas tempoh enam (6) bulan telah genap dari tarikh penyelesaian atau keputusan tersebut.

UNDANG-UNDANG PERHUBUNGAN PERUSAHAAN

Akta Perhubungan Perusahaan 1967
Akta Kesatuan Sekerja 1959

Hak Menubuhi atau Menyertai Kesatuan Sekerja

Pekerja berhak menubuhi atau menyertai kesatuan sekerja. Jika pihak majikan mengganggu hak ini, beliau boleh dituduh melakukan satu kesalahan. Kemudian dalam Ruang ini, kita akan bincangkan beberapa tindakan pihak majikan boleh ambil apabila pekerja beliau menunjukkan minat menjadi anggota kesatuan.
Sekiranya pihak pekerja membuat keputusan untuk menubuhkan satu kesatuan baru untuk mewakili kepentingan mereka, mereka perlu memohon kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja untuk mendaftar kesatuan mereka. Sekurang-kurangnya 7 orang anggota diperlukan untuk tujuan tersebut. Sekiranya rancangan mereka ialah untuk mendapatkan keanggotaan pekerja dari berbagai-bagai syarikat dalam negara, mereka sedang cuba menubuhkan satu kesatuan sekerja kebangsaan. Sekiranya mereka memilih untuk memulakan satu kesatuan di mana keanggotaannya terbuka kepada pekerja dalam syarikat anda sahaja, kesatuan tersebut dikenali sebagai kesatuan dalaman. Prosedur untuk memohon pendaftaran bagi kedua-dua rancangan adalah sama. Sebagai alternatif, pekerja boleh sertai kesatuan sekerja yang sedia ada.
Seorang majikan mungkin akan menghadapi satu daripada tiga keadaan berikut:

1. Pekerja beliau sertai salah satu kesatuan kebangsaan yang sedia ada
2. Pekerja beliau, mungkin bersama pekerja daripada syarikat lain, cuba tubuhkan satu kesatuan kebangsaan yang baru
3. Pekerja beliau putuskan untuk tubuh satu kesatuan dalaman.

Terpulang kepada pekerja sama sekali untuk memilih yang mana daripada tiga pilihan di atas. Pihak majikan mesti tidak dilihat sebagai mengganggu keputusan pekerja. Kebanyakan majikan percaya bahawa ia adalah senang untuk bekerjasama dengan kesatuan dalaman yang berkemungkinan faham dengan keperluan pihak majikan dan masalah yang dia mungkin hadapi.

Sekatan ke atas Keanggotaan Kesatuan Sekerja

Kesatuan sekerja hanya boleh didaftar dan menjadi organisasi yang sah jika beberapa syarat tertentu dipenuhi. Ia termasuk:
1. Semua anggota kesatuan mesti bekerja dalam pekerjaan, tred atau industri yang sama
2. Semua anggota kesatuan mesti bekerja di Semenanjung atau Sabah atau Sarawak. Sesiapa yang bekerja di Semenanjung tidak boleh menjadi anggota kesatuan yang sama seperti mereka yang bekerja di Sabah atau Sarawak. Sama juga mereka yang bekerja di Sarawak tidak boleh menyertai kesatuan yang sama seperti mereka yang bekerja di Sabah atau di Semenanjung. Ia itu, kesatuan di Semenanjung mempunyai anggota yang bekerja di Semenanjung sahaja, kesatuan di Sabah mempunyai anggota yang bekerja di Sabah sahaja dan kesatuan di Sarawak mempunyai anggota yang bekerja di Sarawak sahaja.
3. Semua anggota kesatuan mesti berada dalam salah satu sektor sahaja, iaitu swasta atau awam. Sekiranya organisasi anda ialah sebuah hospital swasta, misalnya, pekerja anda tidak boleh menyertai kesatuan yang mewakili pekerja hospital di sektor awam.
4. Untuk tujuan perundingan bersama, (yang akan dibincang kemudian dalam Ruang ini) anggota kesatuan mesti daripada peringkat yang sama dalam organisasi, iaitu pekerja bukan eksekutif, atau semuanya eksekutif atau semuanya pengurus.
5. Mereka yang bekerja dalam jawatan berkaitan dengan perkara sulit atau kerja sekuriti boleh juga sertai kesatuan yang anggotanya berada dalam jawatan yang sama. Jawatan yang berkait dengan perkara sulit termasuk kewangan, IT, setiausaha peribadi atau penolong kepada pengurusan atasan, iaitu mereka yang boleh akses maklumat sulit.

Hak Tidak Menyertai Kesatuan Sekerja

Pekerja mempunyai hak menyertai kesatuan sekerja tetapi mereka juga mempunyai hak untuk tidak menganggotai mana-mana kesatuan. Ini boleh menyebabkan perbalahan dan pertengkaran di kalangan pekerja apabila mereka sedang cuba menubuhkan kesatuan dan mahukan seberapa ramai pekerja yang boleh untuk menjadi anggota atau apabila satu kesatuan kebangsaan sedang mengadakan kempen menambahkan keanggotaan.
Jikalau pekerja meminta nasihat daripada pegawai sumber manusia mengenai hak mereka, memberi keterangan adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, jangan cuba mempengaruhi mereka untuk menyertai atau tarik diri daripada kesatuan. Jangan beri apa-apa komen mengenai kebaikan atau keburukan apabila pekerja diwakili oleh kesatuan. Hati-hati dengan apa yang anda katakan.